Kebudayaan Melayu

Title | Tajuk : Kebudayaan Melayu (Dari Meja Pengarang)
Magazine | Majalah :  Majalah Mastika
Author | Penulis : –
Date | Tarikh : Bil. 56, Jun 1951
Page | Mukasurat : 3 & 5

Perkara yang tidak tentu arah sekali di Malaya sekarang ialah perkara kebudayaan. Apakah sebetulnya bentuk kebudayaan Malaya hari ini? Dapatkah kita katakan berbentuk kebudayaan Melayu?

Jika dikaji dan diselidiki hal-ehwal yang mengenai hasil kebudayaan di Malaya hari ini maka kita akan mendapati beberapa aliran dan rupabentuk yang berlain-lainan dan tidak datang dari satu punca.

Aliran yang berlain-lainan ini saja sudah dapat memberi faham kepada kita bahawa kebudayaan Malaya bukannya kebudayaan Melayu. Tetapi sebaliknya kebudayaan Melayu sudah tentulah sebahagian daripada kebudayaan Malaya.

Tiap-tiap kita ingin, bahkan menghendaki, supaya kebudayaan Malaya ini tetap merupakan kebudayaan Melayu. Tetapi keadaan yang sebenarnya tidak dapat memenuhi kehendak itu.

Di antara sebab-sebab yang penting mengapa keinginan itu tidak dapat dicapai ialah kerana punca-punca yang menghidupkan kebudayaan Melayu itu sama sekali tidak mendapat galakan dan tidak diberi aliran.

Tempat menggalakkan dan memberi aliran kepada lahirnya kebudayaan Melayu ialah sekolah-sekolah Melayu. Tetapi didikan yang diberi kepada murid-murid sekolah Melayu tidak mempunyai asas-asas yang tegap bagi jiwa anak-anak Melayu untuk berkembang, dan tidak pula ada asas-asas fikiran yang bebas ditanamkan dalam didikan-didikan di sekolah-sekolah Melayu. Selain dari itu, sekolah Melayu hanya menyediakan murid-murid yang kelak akan lekas-lekas berjuang untuk hidupnya dengan bekalan pengetahuan yang sangat terhad. Bagaimanakah boleh diharap berkembangnya kebudayaan daripada bakal-bakal anak negeri yang sepert iini pendidikan dan pelajarannya?

Satu sebab lagi kebudayaan Melayu tidak dapat berkembang ialah kerana adanya perlumbaan yang kencang dengan perkembangan kebudayaan asing yang dimasukkan ke negeri ini oleh pengaruh-pengaruh Barat.

Jalan fikiran putera-puteri Melayu dialirkan kepada satu cara berfikir, berkehidupan dan bergaul mengikut cara-cara Barat, atau lebih tegas lagi, cara-cara Inggeris. Jika tidak pun secara am dan luas aliran yang serupa ini dimajukan, tetapi adalah nyata bahawa dalam menentukan taraf hidup dan darjat seseorang pada sisi masyarakat adalah diukur dengan kecerdasannya dan tinggi pengetahuannya dalam pendidikan dan pelajaran Barat. Bahkan kebangsawanan Melayu pun kurang harganya dalam pergaulan yang tinggi kalau tidak dengan adanya pelajaran Inggeris yang sempurna.

/ms 5/ Kebudayaan sebenarnya ialah gambaran daripada kecerdasan otak, kehidupan politik dan ekonomi dari penduduk-penduduk sesuatu negeri atau sesuatu bangsa.

Maka tidaklah hairan bila kebudayaan Melayu tidak dapat lahir dengan suburnya, seperti yang dikehendaki, di Tanah Melayu sendiri kerana kecerdasan otak Melayu terliput dalam satu aliran fikiran dan anggapan yang cenderung ke Barat. Tetapi kecenderungan itu pun tidak berjaya melahirkan sesuatu kesan yang nyata kepada kehidupan sehingga mengadakan bentuk-bentuk kebudayaan, kerana orang-orang Melayu yang sampai kepada taraf yang tinggi dalam pergaulan mengikut bentuk yang demikian itu hanyalah boleh dihitung dengan jari saja banyaknya, dan rakyat terbanyak tinggal rendah, tidak pun mencapai kecerdasan otak mereka walau mengikut aliran Melayu atau aliran Inggeris (Barat) sekalipun.

Perekonomian rakyat dan hak-hak politik rakyat Melayu tidak mencapai taraf yang tinggi sekira-kira boleh memberi kesan yang maju kepada kehidupan dan memberi bentuk kepada kebudayaan mereka.

Maka pada umumnya bentuk kebudayaan Melayu (kalaupun ada sedikit-sedikit itu) ialah gambaran dari hidup yang telah lalu, bukannya gambaran dari kehidupan kecerdasan otak, ekonomi dan politik umat Melayu yang sepatutnya sudah berubah dalam zaman kemajuan ini.

Untuk menimbulkan kesan keMelayuan pada kebudayaan Melayu, ataupun untuk menjayakan kebudayaan Melayu sebagai asas kebudayaan Malaya yang akan datang, hendaklah orang-orang Melayu mempunyai dasar didikan yang memberi kebebasan kepada perkembangan fikiran dan otaknya. Usaha ke arah itu dapat dilaksanakan dalam rumah-rumah pendidikan dan pelajaran, iaitu di sekolah-sekolah Melayu yang utamanya dan di sekolah Inggeris pada amnya.

Perkembangan kecerdasan otak dan fikiran ini hendaklah pula diberi lapangan bagi melaksanakan satu kehidupan yang maju dan bebas dalam pergaulan ramai, iaitu dalam masyarakat Malaya yang dianggap tinggi. Dan ini hanya dapat tercapai kalau lapangan ekonomi dan politik dapat mencapai hak rakyat, atau dengan lain-lain perkataan, orang-orang Melayu hendaklah menjadi satu bahagian yang penting mencampuri dan mengendalikan perjalanan ekonomi dan politik itu.

Jika tidak demikian, maka kebudayaan Melayu akan tetap menjadi satu bentuk kebudayaan yang bercampur-aduk, tidak ada asas dan dasar yang satu, yang berakar-tunjang dalam masyarakat negeri ini. Dan selama itulah hasil-hasil kesenian, ciptaan-ciptaan dari hasil pengetahuan dan juga cara kehidupan umat Melayu ini akan merupakan kesenian-kesenian dan ciptaan-ciptaan yang terumbang-ambing antara Barat dan Timur, antara lama dan baru, dan antara keCinaan, keMelayuan dan keIndiaan yang tak tentu arah.

 

Comments are closed.