Title | Tajuk : Melihat dan Menggembari Gambar-Gambar Lukisan
Magazine | Majalah : Majalah Mastika
Author | Penulis : Mohd Salehuddin
Date | Tarikh : Bil. 52, Februari 1951
Page | Mukasurat : 14 – 16
“Oh, gambar lukisan… gambar yang sengaja boleh dibuat-buat!” Demikianlah kata seseorang apakala melihat suatu gambar yang menunjukkan sesuatu pemandangan yang aneh atau wajah seseorang yang amat cantik atau sebagainya, ataupun sebaliknya sesuatu pemandangan yang mustahil boleh adanya di dalam dunia ini melainkan semata-mata di dalam angan-angan atau di dalam mimpi sahaja.
Apa yang hendak dilihat oleh orang-orang yang berkata seperti itu ialah gambar yang menunjukkan keadaan yang sebenar-benarnya, seperti gambar fotograf, padahal ia sendiri pun tahu bahawa gambar fotograf itupun boleh diragam-ragamkan orang sehingga boleh menunjukkan pemandangan-pemandangan yang mustahil!
Sebenarnya gambar-gambar lukisan – yakni gambar-gambar lukisan yang telah diakui bagus atau terpilih oleh orang-orang yang ahli – tiadalah mudah boleh digemari oleh orang-orang yang tiada mempunyai perasaan kesenian. Bolehlah dikatakan banyak perkaranya di dalam keadaan gambar-gambar lukisan yang kita tiada dapat hendak memuji atau menggemarinya melainkan dengan mengkaji akan rahsia-rahsia kesenian dengan hati-hati lebih dahulu. Gambar-gambar yang dilukis pada zaman dahulu kala atau yang dilukis oleh ahli-ahli seni negeri-negeri asing selalu kelihatan pelik atau tiada makna kepada kita apabila dilihat dengan sekali lalu. Demikian juga halnya dengan gambar-gambar yang dilukis oleh setengah-setengah ahli seni modern yang menunjukkan gambar-gambar yang tiada tentu ekor kepala, bercampur-aduk dan memelikkan hati sehingga orang-orang yang melihatnya selalu mengketawakan dengan mengatakan gambar itu salah bentuknya dan dilukis oleh orang-orang yang tiada tahu melukis gambar.
Untuk membina perasaan tahu memuji atau menggemari sesuatu gambar itu, maka kita sayugialah mengkaji dengan cermat akan beberapa gambar-gambar yang telah sedia diakui jadi gambar-gambar pilihan.
Di dalam Tanah Melayu ini gambar-gambar pilihan yang saya maksud ini susah, atau boleh dikatakan tiada langsung boleh dapat dilihat di dalam keadaan aslinya, yakni gambar asli yang dilukis oleh pelukisnya. Tetapi gambar-gambar capnya banyak boleh didapati, sehingga di tiap-tiap kedai frame dan cermin gambar boleh dilihat bergantungan dengan banyaknya.
Gambar-gambarini sayugialah dikaji dan diperhati dengan teliti bagaimana ia boleh jadi gambar-gambar yang terpilih, dan di mana terletak kecantikannya. Dan lagi bila ada peluang melihat pertunjukan-pertunjukan lukisan, amat-amatilah apa kecantikan yang ada pada sesuatu gambar lukisan yang dipertunjukkan itu, atau carilah apa bendanya yang hendak ditunjukkan atau hendak difahamkan kepada kita oleh pelukisnya.
Kebanyakan orang yang tiada belajar bagi menggemari atau memuji gambar-gambar lukisan adalah semata-mata memikirkan berkenaan dengan apa bendanya yang dilukis jadi gambar itu. Jika gambar itu gambar orang, maka mereka memerhatilah adakah benda yang jadi gambaran itu perempuan yang cantik atau /ms 15/ lelaki yang kacak. Jika gambar itu menunjukkan pemandangan peperangan, gambar orang berkumpul beramai-ramai, atau pemandangan di balairung raja, maka mereka adalah memikirkan apakah yang berlaku di dalam gambar itu. Orang yang memerhati semata-mata apa benda yang jadi gambaran itu terlepaslah daripada dapat memahamkan beberapa benda yang menarik hati di dalam gambar itu. Setengah-setengah lukisan yang tiada menunjukkan gambar benda-benda yang menarik perhatian tiadalah langsung menyukakan hati orang-orang ini. Seseorang yang mengkaji akan rahsia-rahsia lukisan akan mendapati bahawa cara seseorang pelukis memperbuat gambar itu adalah lebih menarik hatinya lagi daripada apa bendanya yang digambarkan oleh pelukis itu. Cara bagaimana seseorang ahli seni memperbuat gambarnya adalah menjadikan perbedaan antara seni yang baik dengan seni yang tiada baik.
Manakala kita mengkaji akan gambar-gambar lukisan, maka kita sebenarnya semakin kurang memerhati akan apa bendanya yang jadi gambar itu. Adapun yang lebih menarik perhatian kita ialah bentuk garisan gambar itu, bahagian-bahagian gelap dan terangnya, lawan-lawan warnanya, cara bentuk benda-benda padu yang digambarkan di dalamnya dengan cahaya gelap dan terang bermain-main padanya, rupa menunjukkan ruangan angkasanya dan tumpuan pemandangan ke kaki langitnya. Benda-benda ini adalah disebutkan anasir-anasir atau bahagian-bahagian dalam bentukan gambar. Benda-benda inilah yang digunakan oleh ahli-ahli seni bagi membina rekaan gambar-gambar mereka. Setengah-setengah bentuk garisan, seperti bentuk melengkung atau siku-siku, adalah diulangi dan dilawankan dengan bentuk-bentuk yang lain. Benda-benda itu disulamkan bersama-sama pada masa ahli seni /ms 16/ itu membina susunan garisan-garisannya. Warna-warna bentuk-bentuk padu, dan keadaan-keadaan lain lagi adalah diulangi akan dia dengan keadaan berlawan-lawan dan dengan itu ahli seni itu membinalah susunan seluruh gambarnya. Bentuk dan susunan di dalam gambar sentiasalah menimbulkan perasaan gemar kepada seseorang yang telah belajar bagaimana menyukai gambar.
Pemandangan-pemandangan alam semulajadi dengan awan, pohan kayu dan rumah-rumah, ataupun pemandangan-pemandangan jalanraya dalam bandar adalah penuh dengan hasil-hasil kecantikan garisan, bentukan dan warna. Kebanyakan orang tiada nampak langsung akan benda-benda ini. Seseorang ahli seni yang termasyhur adalah menunjukkan sesuatu jenis hasil yang khas yang menarik hatinya, seperti bayang-bayang yang berwarna di atas benda-benda yang putih, atau kilat-kilau di dalam air – ataupun ia lebih suka menggambarkan bentuk-bentuk awan yang bertukar-bertukar dengan burung-burung terbang melintasnya, atau bentuk benda manusia yang berkelasa-kelasa. Benda-benda ini adalah ditarikkannya perhatian kepada kita dengan menerusi gambar-gambarnya. Kita sentiasalah lepas daripada itu deras sahaja nampak benda-benda itu.
Seseorang pelukis yang tiada mahir boleh merosakkan benda gambaran yang bagus sekalipun. Ia harus mencuba hendak menggambarkan dua orang bertinju, tetapi diperbuatnya gambar mereka keras dan kaku sahaja seperti banyak kayu atau patung batu. Ataupun harus ia telah dapat menggambarkan dengan baik dan betul akan pemandangan suatu jalanraya dalam pekan, tetapi rumah-rumahnya tiada betul bentuknya dan tumpuan pemandangan ke kaki langitnya salah sama sekali. Tumpuan pemandangan ke kaki langit ini ialah suatu cara menunjukkan bagaimana benda-benda kelihatan bertambah kecil semakin jauh ianya dari orang yang memandang, seperti barisan tiang-tiang telefon, pagar atau landasan kereta api bertumpu atau bertemu kepada suatu titik betul pada arah kaki langit.
Sesungguhnya hal menggemari akan gambar-gambar yang pilihan ini bukanlah dengan senang boleh didapati bahkan hingga orang-orang yang memang ahli pun terkadang-kadang terlepas dari perhatiannya sebagaimana yang terbukti daripada perihal bagaimana seorang ahli seni Belanda bernama Vincent van Gogh yang telah hidup dari tahun 1853 Masihi hingga 1890 dahulu tiada digemari sekali-kali oleh orang akan gambar-gambar lukisannya sehingga boleh dikatakan tiada langsung pernah gambarnya dibeli oleh orang kerana pada pendapat mereka gambar-gambarnya buruk, kasar dan janggal rupanya dengan akibatnya ia berhati runsing, jatuh gila, memotong telinganya sebelah dan akhirnya membunuh diri. Tetapi sekarang gambar-gambarnya hairan seribu kali hairan dipuji, dibeli orang mahal-mahal dan ditaruh di dalam sekolah gambar yang besar-besar dalam dunia.