Gambar atau Lukisan

Title | Tajuk : Gambar atau Lukisan
Magazine | Majalah :  Jilid 3, Al-Ikhwan
Author | Penulis : –
Date | Tarikh : 16 Mac 1929
Page | Mukasurat : 235 

Tiadalah siapa-siapa pun yang berani mengingkarkan bahawa Nabi SAW telah menegahkan daripada membuat gambar dan mehormatkan gambar-gambar itu bagaimana ia telah menegah sama juga seumpama itu daripada membangunkan bangunan ke atas kubur kerana kebesaran pangkat orang yang punya kubur itu ataupun tidak, dan ditegahnya juga daripada menjadikan bangunan yang di atas kubur-kubur itu tempat berbuat ibadah /ms 236/ dan memasang api di dalamnya dan meminta pertolongan daripada yang punya kubur itu kepada menyampaikan apa-apa hajat daripada Tuhan.

Bermula hikmah dan sebab-sebab tegahan ini ialah kerana tempat Rasulullah zahir menjadi pesuruh Tuhannya membawa ugama Islam ini sekalian orang-orangnya menyembah berhala dan membesarkan kubur (terkecuali beberapa orang sahaja).
Bermula yang dinamakan berhala itu iaitulah gambar-gambar datuk nenek mereka itu ataupun gambar orang-orang yang soleh yang telah lalu.

Adapun segala berhala yang daripada gambar-gambar itu bukanlah kaum Quraisy itu menyembah akan dia mengatakan dia Tuhan yang sebenar pula, tetapi kata mereka itu orang-orang soleh yang telah mati itu terlebih hampir kepada Tuhan. Maka jikalau ada apa-apa hajat mereka itu kepada Tuhan apabila diminta pertolongan daripada gambar-gambar orang-orang yang soleh itu atau daripada kuburnya nescaya bersegeralah Tuhan menerima akan hajat itu dengan pertolongan mereka itu daripada meminta sendiri dengan tiada memakai orang tengah lagi! Maka perbuatan mereka itu yang demikian inilah yang dikata oleh Tuhan di dalam QuranNya di dalam beberapa banyak tempat pekerjaan mempersekutukan Tuhan.

Maka oleh kerana pekerjaan mempersekutukan Tuhan ini sangat-sangat ditakuti oleh ugama Islam dan dengan sebabnyalah disuruhkan oleh Tuhan sekalian rasulNya, jadilah dilarang oleh Rasulullah sekalian orang-orang yang telah masuk Islam pada masanya daripada menaruh gambar dan membesarkan kubur orang mati dan membuat bangunan di atasnya dan memasang api di dalamnya dan menjadikan bangunan itu tempat berbuat ibadah, apalagi meminta pertolongan pada menyampaikan hajat daripada yang punya gambar dan kubur itu. Kerana diketahui oleh Rasulullah /ms 237/ kebanyakan orang yang masuk Islam pada masanya itu menyembah berhala dan membesarkan kubur-kubur sebelum Islamnya lagi, maka menegah mereka itu daripada pekerjaan yang boleh mengingatkan mereka itu lagi kerja-kerja mempersekutukan Tuhan itu sangat-sangat patut dan sangat-sangat berguna bagi menghapuskan sama sekali peringatan yang sangat-sangat bahaya itu daripada hati mereka itu.

Tiap-tiap orang yang ada mempunyai sebesar semut sahaja daripada pengetahuan bila ia membaca akan segala sebab-sebab yang ditegah oleh Rasulullah bagi mehormatkan gambar-gambar dan membesarkan kubur-kubur orang mati itu, nescaya mengetahuilah ia bukannya tegahan itu kerana zat kubur dan zat gambar-gambar itu semata-mata, tetapi ialah kerana bahaya yang boleh terbit ke dalam iktiqad seseorang dengan sebab kubur dan gambar itu.

Dalilnya bagi kebenaran perkataan ini yang pertamanya ialah Rasulullah sebelum wafatnya telah membenarkan sekalian orang Islam ziarah akan kubur kemudian daripada dilihatnya tidak ada lagi bahaya yang ditakutinya itu, tetapi disyaratkannya bagi orang yang hendak ziarah kubur itu ialah kerana mengingatkan mati dan kerana mendoakan yang punya kubur itu sahaja.

Dan adapun dalil bagi kebenaran perkataan yang keduanya, iaitu di dalam fasal zat gambar ini, iaitu pada suatu hari Rasulullah masuk kepada isterinya Saidatina Aisyah maka didapatinya tabir di tempat Saidatina Aisyah itu ada bergambar macam gambar berhala yang di Ka’bah. Maka Rasulullah pun menyuruh turunkan tabir itu. Dan Saidatina Aisyah pun mengambil tabir itu dijadikannya bantal dengan ada gambar itu sama. Maka Rasulullah sendiri duduk bertalqin akan bantal yang bergambar itu dengan tiada suatu apa-apapun katanya lagi.

Zahirlah sekarang wahai pembaca-pembaca di mata /ms 238/ hati tuan-tuan yang bersih itu bahawa larangan Rasulullah ke atas orang-orang Islam fasal kubur dan gambar ini bukannya kerana zat kubur itu dan bukan pula kerana zat gambar itu semata-mata! Tetapi ialah kerana bahaya mempersekutukan Tuhan yang boleh terbit daripadanya. Sekiranya dengan kerana zat kubur itu atau dengan kerana zat gambar itu sahaja maka tentulah sekali tiada diberinya sama sekali kita hampir ke kubur orang mati itu dan tiadalah ia menggunakan bantal yang bergambar itu dibuatnya tempat ia bertalkin dan baring agaknya.

Manakala telah kita ketahui adalah tegahan yang dilarang oleh Rasulullah akan orang-orang Islam kepada kedua-dua perkara ini bagaimana yang tersebut ini, maka cubalah kita perhatikan hal-ehwal kita dan hal-ehwal saudara-saudara kita dan hal-ehwal peredaran yang berlaku ke atas kedua-dua perkara yang dilarang ini di dalam alam ini.

Perkara gambar-gambar ini telah menjadi suatu daripada perkara yang sangat-sangat berguna bagi kemajuan manusia sama ada gambar-gambar yang beribu-ribu tahun dahulu ataupun gambar-gambar yang baharu-baharu diperbuat orang pada masa ini.

Adapun gambar-gambar yang dahulu-dahulu telah berbuat-buat orang-orang kaya-kaya membelinya dengan harga yang sangat-sangat mahal tetapi bukan kerana mereka itu hendak menyembah akan dia! Hanyalah semata-mata kerana mereka itu hendak memperingatkan tarikh masa gambar-gambar itu diperbuat dan apa-apa hal-ehwal masa-masa yang sangat-sangat berguna bagi menjadi peringatan ibarat kiasan kehidupan! Sehingga segala kerajaan yang besar-besar berdahulu-dahuluan memberanikan orang-orangnya pada memeriksa tempat-tempat bekas-bekas tarikh yang lama-lama itu kerana hendak mendapat apa-apa suratan atau gambar-gambar yang diperbuat pada zaman-zaman dahulu kala.

/ms 239/ Barang siapa yang telah pergi ziarah ke negeri Mesir dan melihat tempat perhimpunan segala harta-harta zaman dahulu kala di rumah gambarnya nescaya melihatlah ia akan beberapa gambar-gambar yang ajaib-ajaib perbuatan orang beribu-ribu tahun dahulu disimpan oleh kerajaan, tiap-tiap suatunya dengan cukup sempurna pemeliharaan, tetapi hanyalah kerana kegunaan tarikhnya, bukannya kerana hendak disembah akan dia, sehingga tarikh barang-barang yang ajaib itu telah menjadi pelajaran anak-anak di sekolahnya di serata-rata negerinya. Maka adakah pekerjaan yang demikian ini dilarang juga oleh agama Islam?

Adapun gambar-gambar pada masa ini maka telah menjadi suatu daripada alatan perkakas yang maha besar dan maha berguna sekali bagi me’imarahkan negeri dan mengatur tiap-tiap suatu bangunan yang elok. Maka yang terlebih besar lagi faedahnya ialah menyenangkan dan melekaskan pendapatan anak-anak yang belajar di dalam sekolah-sekolah dengan memahamkan tiap-tiap suatu itu daripada rupa gambarnya yang dipandangnya, bukan yang didengarinya sahaja, serta melihat akan tangannya bagi memperbuat akan ketukangan yang sangat-sangat berguna bagi negerinya dan kaum bangsanya, bukan kerana hendak disuruh ia menyembah akan dia! Dan tiada pula ada kebimbangan yang anak-anak itu boleh menyembah akan dia!! Maka adakah pekerjaan yang demikian ini dilarang oleh agama Islam?

Tidak! Tidak!! Tidak!!! Maha suci ugama Islam ini boleh menegahkan orang-orang yang berugama akan dia daripada tiap-tiap perkara yang telah muafakat akal manusia akan kegunaannya yang telah masyhur di dalam perhimpunan tiap-tiap kaum yang hidup dengan tiada merosakkan pula iktiqad atau menyakitkan manusia.

Inilah dia dengan ringkas kita tuliskan di dalam perkara gambar atau lukisan /ms 240/ ini. Adapun perkara membesarkan kubur orang-orang mati yang masih lagi orang-orang Islam mengerjakan dia sehingga masa ini, maka lemahlah kita hendak mendapat akan sebab-sebab dan faedah-faedah yang berguna bagi kehidupan perhimpunan yang lain daripada mengambil ibarat kiasan orang-orang besar-besar dan orang kaya-kaya itu telah mati bagaimana kita akan mati seumpama itu juga dan tidak ada yang tertinggal kemudian daripada mati itu melainkan amalan kebajikan yang memberi manfaat kepada kaum bangsa dan watannya yang menjadikan sebutan-sebutan dan doa mereka itu kemudian daripada matinya kelak.

Di dalam pada ini pun ajaib kita mendengarnya banyak sangat sungutan orang-orang konon mengajar anak-anak Melayu di dalam sekolah-sekolah melukis gambar itu ditegah oleh ugama Islam, padahal orang-orang yang berkata-kata yang demikian inilah juga bila dipanggil oleh orang pergi berbuat ibadat membaca dan mengaji di dalam segala bangunan kubur-kubur orang mati yang dilarang membangunkan dia itu maka berbuat-buat mereka itu pergi mengadap akan kubur itu bagaimana ia mengadap akan XXX dengan tiada teringat ia akan larangan Tuhan, padahal tiada terbit sesuatu apapun daripada pekerjaannya itu kegunaan bagi faedah-faedah kehidupan dunia dan akhirat yang lain daripada apa yang dibenarkan oleh ugamanya jikalau dipadakan oleh mereka itu sehingga had kebenaran ugama itu sahaja.

Kita lihat banyak orang-orang yang menzahirkan warak dan solehnya itu tiada hendak ia masuk ke rumah-rumah yang ada terpasang gambar di dindingnya, padahal ia itu juga bila dipanggil orang ia ke kubur orang mati hendak disuruh mengaji dan tahlil /ms 241/ berbuat ibadah, maka berlarilah ia mengadap XXX dengan suka hatinya – hasbiallah wa ni’mal wakil.

Comments are closed.