Seni Lukis Kita

Title | Tajuk : Kebudayaan : Seni Lukis Kita
Magazine | Majalah :  Majalah Mastika
Author | Penulis : Mohd Salehuddin
Date | Tarikh : Bil. 49, November 1950
Page | Mukasurat : 24 – 26

Kaum bangsa Melayu boleh dikatakan ialah suatu bangsa yang berjiwa seni, yakni ada mempunyai kemahuan terhadap kepada kesenian. Buktinya bolehlah disaksikan daripada betapa indah-indahnya perbuatan-perbuatan tangan daripada tekat sulam, pertukangan barang-barang perak, ukiran-ukiran hulu keris dan sebagainya, serta juga tenunan-tenunan kain yang mahsyur namanya seperti kain Terengganu, kain Bugis, kain Samarinda dan lain-lain lagi.

Tentang melaksanakan kesenian itu kepada melukis gambar sesungguhnya tiadalah dilakukan oleh ahli-ahli seni Melayu kita pada zaman dahulu kerana kepandaian itu belum sampai lagi dari Barat ke negeri kita ini. Melukis gambar seperti yang dilakukan sekarang dengan menggunakan cat air, cat minyak, kapur, dakwat hitam dan lain-lain lagi ialah perkara yang baharu datang dari Barat iaitu bersama-sama dengan tamadun Barat. Sekarang manakala tiap-tiap kaum dan bangsa lain mengambil bahagian belaka mengutamakan kesenian baharu ini maka sudah tentulah bangsa Melayu tiada sayugia sekali-kali ketinggalan pula daripada memajukannya. Langkah menubuhkan persekutuan-persekutuan /ms 25/ dan kelas-kelas lukis Melayu di Singapura dan di setengah-setengah tempat di Tanah Melayu sebagaimana yang didapati sekarang, yang demikian itu ialah suatu langkah yang amat baik dan patut menerima sokongan penuh dari kaum Melayu sama ada cenderung kepada kesenian melukis gambar atau tidak.

1950_nov01

Meskipun bangsa kita baharu sahaja tahu alam melukis gambar ini tetapi tentang ramainya pelukis-pelukis Melayu sekarang ini tiadalah boleh memalukan tetapi sebaliknya memegahkan, hanya sanya pelukis-pelukis kita itu belum lagi masyhur. Dalam pada itu masanya tiadalah lama lagi bagi sesetengah daripadanya menciptakan namanya di lembaran sejarah seni lukis bangsa Melayu kerana seni-seni lukis mereka tinggi darjahnya dan menarik perhatian sebagaimana yang dibuktikan oleh dua orang guru lukisan Melayu Singapura di dalam pertunjukan yang baharu sahaja lepas diadakan di British Council Singapura beberapa hari yang lalu, dan juga daripada lukisan-lukisan yang diadakan bersendirian pertunjukannya seperti oleh Abdullah Arif di Pulau Pinang dan A. Mahat di Singapura baharu-baharu ini dahulu.

Kelas-kelas lukisan dan persekutuan-persekutuan seni lukis Melayu sedang berusaha dengan seboleh-bolehnya hendak memajukan seni lukis bangsa mereka sekarang ini. Persekutuan Pelukis-pelukis Melayu Malaya yang berpusat di Singapura dan bercadang mendirikan cawangan-cawangan di seluruh Tanah Melayu adalah sedang bertatih memajukan usahanya dan buah usaha mereka itu telah sudahpun boleh dibuktikan sebagaimana banyak dan cantiknya gambar-gambar yang telah dipertunjukkan mereka di dalam pertunjukan di kampung Kembangan Singapura tiga minggu yang lalu sehingga mematutkan mereka menerima hadiah sebuah piala perak yang comel.

Saya tadi telah menarik perhatian kepada perihal kesenian melukis gambar yang kita lakukan sekarang ini ialah menurut kesenian yang datang dari Barat. Maka patutlah pula saya menerangkan perkara yang bersangkutan dengan kesenian ini yang didapati di negeri-negeri Barat. Di dalam lawatan saya ke England dua tahun yang lalu saya telah sempat menonton National Gallery iaitu muzium tempat tersimpannya gambar-gambar lukisan yang cantik-cantik dan ternama perbuatan pelukis-pelukis Inggeris dan Eropah. Apa yang saya saksikan ialah gambar-gambar itu boleh dikatakan semuanya ialah lukisan-lukisan daripada cat minyak atau ‘oil colour’ belaka. Gambar-gambar daripada pensil, dakwat hitam, kapur dan cat air sedikit-sedikit benar adanya di situ. Maka kerana itu mestilah ada sebabnya.

1950_nov02

Ada pun sebabnya itu tiadalah susah dicari. Lukisan sebagai yang kita ketahui ialah pertamanya tergantung kepada kecantikan dan keduanya kepada lamanya tahan disimpan. Cat minyak ada kedua-duanya itu. Gambar-gambar cat minyak ialah cantik-cantik. Jika ia menggambarkan wajah seseorang maka rupa orang itu boleh diperbuat betul atau hampir-hampir betul seperti /ms 26/ keadaan yang sebenar, bukannya sahaja tentang wajah mukanya, melainkan juga warna kulitnya dan tabiat kelakuan dirinya. Warna yang asli ini hanya boleh diperbuat dengan cat minyak sahaja, tiada boleh diperbuat dengan betul oleh pensil, arang, dakwat ataupun kapur. Maka itulah satu daripada sebabnya mengapa lukisan cat minyak banyak diperbuat oleh pelukis-pelukis yang ternama.

Keduanya ialah tentang tahan lamanya. Gambar cat minyak ialah boleh tahan beratus-ratus tahun lamanya dengan tiada berubah warnanya, pada hal gambar cat air atau ‘water colour’ dalam beberapa puluh tahun sahaja rupanya pun berubahlah kerana dimakan hari.

Dan lagi gambar-gambar cat air, kapur, pensil dan dakwat diperbuat akan dia di atas kertas. Bila kertas itu telah lapuk atau rapuh maka lukisan itu pun hilanglah bersama-sama. Akan gambar-gambar cat minyak, kerana ia tebal dan diperbuat di atas kain atau papan, tidaklah boleh hilang demikian itu. Gambar cat minyak boleh ditukarkan kepada kain atau papan yang lain dengan ditanggalkan ia daripada kain atau papan aslinya yang telah lama dan lapuk itu.

Kerana ini ahli-ahli seni Melayu yang bercita-cita berkehendakkan buah usahanya berkekalan dipusakai kepada zaman yang akan datang sayugialah mengambil perhatian tentang melukis dengan cat minyak ini. Pelukis-pelukis Melayu sekarang ini ialah mengutamakan lukisan-lukisan cat air atau ‘water colour’ sahaja iaitu daripada jenis lukisan yang tiada tahan berkekalan meskipun tiadalah saya mencuba hendak mengatakan di sini bahawa melukis dengan cat air, pensil dan kapur itu tiada berguna, oleh sebab alat-alat itulah yang mustahak digunakan lebih dahulu bagi belajar dan berlatih melukis gambar, istimewa pula alat-alat itu murah dibandingkan dengan cat minyak yang mahal dan boleh mendatangkan membazir jika digunakan semata-mata untuk latihan.

Comments are closed.