Kita Hormati Bakat Pelukis Kita (No 80)

Title | Tajuk : Kita Hormati Bakat Pelukis-Pelukis Tanah Air 
Magazine | Majalah :  Bintang
Author | Penulis : –
Date | Tarikh : No 80, 16 Ogos 1950
Page | Mukasurat : 17

Ini adalah kali yang kedua kita siarkan ruangan ini – ruangan menghormati bakat pelukis-pelukis tanah air. Pertama kalinya kita siarkan di dalam keluaran 16 Julai (bilangan 78) yang lalu dengan pelukis-pelukis D. Hamzah, Zahni dan Ismail Hashim, dan sekarang dengan pelukis-pelukis H.I. Adam, Syahrum Sutan dan Abdul Haq.

Saudara H.I. Adam dari Sungai Petani (Kedah) melukiskan wajah saudari Rosnani dengan ukuran 9 x 12 setengah inci. Walaupun ia mengatakan bahawa lukisannya itu dikirim dengan tujuan supaya dijadikan hiasan dinding pejabat kita, tetapi oleh kerana ruangan ini telah dibuka maka lukisannya itu kita siarkan di sini.

Saudara Syahrum Sutan dari Merbok (Kedah) pula telah melukis wajah saudari Maria Menado dengan ukuran 9 x 12 inci juga. Dalam hal ini kita melihat saudara Syahrum masih belum dapat menurunkan wajah Maria dengan tepat ke atas kertas lukisannya. Kita berharap tangannya akan lebih tetap dari semasa ke semasa dalam usahanya melukis itu.

Akihr sekali ialah saudara Abdul Haq dari Pulau Berani (Singapura) melukiskan wajah saudara Omar Rojik. Lukisan saudara Abdul Haq ini kelihatan dilakukan dengan sambil lalu sahaja. Tetapi oleh kerana ia kita pandang sebagai ada mempunyai bakat yang baik, maka lukisannya yang hanya dibuat dengan fountain pen biasa sahaja itu kita siarkan di sini. Sungguhnya lukisannya itu bukanlah dikirimkan sendiri oleh saudara Abdul Haq, tetapi ia telah dibawa dengan tidak bermaksud hendak disiarkan oleh seorang kawan kita dari pulau tersebut.

Hanya sekian sahaja yang dapat kira perkatakan tentang lukisan-lukisan yang kita siarkan di dalam keluaran ini. Insya-Allah kita akan menyiarkan lagi beberapa lukisan lain yang ternyata sekarang ini ada banyak di dalam simpanan kita dikirimkan oleh pelukis-pelukis yang sedang dan baru akan mencuba bakatnya di lapangan “melukis” ini.

Comments are closed.