Kita Hormati Bakat Pelukis Kita (No 88)

Title | Tajuk : Kita Hormati Bakat Pelukis-Pelukis Tanah Air 
Magazine | Majalah : Bintang
Author | Penulis : –
Date | Tarikh : No 88, 16 Disember 1958
Page | Mukasurat : 21

Ini adalah kali yang kesembilannya kita menyebarkan lukisan-lukisan yang dilukis oleh bakat-bakat pelukis tanah air yang telah mengirimkan hasil lukisannya itu kepada kita – 3 pelukis sekali siar. Dan dengan demikian jadilah jumlahnya sekarang seramai 27 orang semuanya.

Mereka yang mendapat penghormatan kita kali ini ialah:

Pertama, saudara Ismail Ahmad dari Singkir (Kedah) dengan lukisannya menurunkan wajah saudara M. Amin (bintang dari Kris F.P.) Kedua, saudara Muhammad Saleh dari Province Wellesley dengan lukisannya yang menurunkan wajah saudari Junaidah. Dan ketiganya, saudara Zakaria Bin Ma’aris dari Batu Kikir (Negeri Sembilan) dengan lukisannya yang menurunkan wajah saudari Seri Dewi.

Seperti yang telah kita maklumkan dalam keluaran kita yang lalu maka dengan ini sekali lagi kita jelaskan kepada mereka yang sebenarnya baru mencuba-cuba hendak membuat lukisan supaya ia tidak akan terburu-buru mengirimkan hasil lukisannya itu kepada kita. Lukisan-lukisan tersebut hendaklah diperhatikan dengan teliti sekali lagi apakah ia telah dapat memuaskan hati saudara sendiri atau belum dan apakah lukisan itu sudah dapat dikenal dengan sekali pandang sahaja akan wajah yang dimaksudkan mula-mulanya. Kalau semuanya ini masih “belum” lagi, eloklah dicuba sekali dan beberapa kali lagi sehingga ia betul-betul dapat memuaskan hati saudara sendiri. Setelah itu barulah dikirimkan kepada kita untuk diminta siarkan.

Apa yang kita maksudkan di atas ini ialah guna menjaga supaya tidak akan banyak jadinya tenaga-tenaga dan duit-duit stem yang terbuang dengan percuma sahaja. Kiriman-kiriman lukisan yang tidak betul serupa itu sesungguhnya tidaklah dapat kita kembalikan kepada si pengirimnya. Harap dipermaklumi. Terima kasih.

Comments are closed.