Kita Hormati Bakat Pelukis Kita (No 86)

Title | Tajuk : Kita Hormati Bakat Pelukis-Pelukis Tanah Air 
Magazine | Majalah : Bintang
Author | Penulis : –
Date | Tarikh : No 86, 16 November 1958
Page | Mukasurat : 21

Dengan jumlah 18 orang pelukis yang telah kita siarkan di dalam keluaran-keluaran kita yang lalu dicampurkan dengan 3 orang pada kali ini maka jumlah besarnya jadilah 21 orang semuanya bakat-bakat pelukis yang sudah kita perkenalkan melalui ruangan kecil kita ini. Sementara itu pula bakat-bakat baru masih tetap terus menerus datang membanjiri meja kita dari semasa ke semasa.

Bakat pelukis kita pada kali ini adalah sebagai berikut:

Pertama, saudara A. Muhit dari Pekan (Pahang) dengan lukisannya merupakan wajah saudari Rohimah Alias – dilukis dengan indian ink di atas kertas lukisan biasa.

Kedua, saudara Som dari Kuala Kangsar (Perak) dengan lukisannya yang merupakan wajah saudari Maria Menado – dilukis dengan pensil kayu di atas kertas lukisan biasa yang tipis.

Dan ketiganya ialah saudara A. Majid dari Kuala Marhum, Pekan (Pahang) dengan lukisannya yang merupakan wajah saudari Mariam – dilukis dengan indian ink di atas kertas licin.

Sementara itu saudara Husin Ahmad dari Pengkalan Cepa (Kelantan) telah mengemukakan cadangannya supaya pihak kita menyiarkan nama dan alamat penuh para pelukis yang lukisannya kita siarkan itu dengan alasan memudahkan di antara mereka semasa mereka membuat perhubungan. Hal ini sebenarnya tidaklah dapat kita setujui kerana serupa dengan adanya bakat-bakat pengarang juga, tidaklah kesemua pelukis-pelukis kita tadi mahu nama dan alamatnya disiarkan dengan begitu sahaja. Pelukis-pelukis yang memakai nama samaran umpamanya tentulah hatinya tidak mahu mengizinkan kalau kita berbuat begitu.

Walau bagaimanapun, untuk menyampaikan hajat saudara Husin tadi bolehlah kita lakukan dengan cara menyiarkan isi surat-surat yang ditujukan kepada pelukis-pelukis yang diminati itu di ruangan “Surat Terbuka” kita. Tetapi isi surat-surat terbuka itu hendaklah “berisi”, janganlah hanya yang sia-sia sahaja – sekira-kira data dinikmati oleh rakan-rakan pembaca yang lain pula.

Comments are closed.