Garisan Sejarah Kesenian dan Pertukangan Melayu

Title | Tajuk : Garisan Sejarah Kesenian dan Pertukangan Melayu
Magazine | Majalah :  Majalah Mastika
Author | Penulis : Mohd Salehuddin
Date | Tarikh : Bil. 62, Disember 1951 
Page | Mukasurat : 8 – 16

Tiap-tiap bangsa sedikit sebanyaknya ada mempunyai keseniannya sendiri yang telah dibentuk oleh ahli-ahli seni bangsa itu pada zaman purbakala dan berketurunanlah menjadi pusaka kepada bangsa itu. Seni itu ialah disebutkan seni asli, iaitu tumbuh dan kembang di dalam masyarakat bangsa itu dengan tidak ditambah atau diubah oleh pengaruh-pengaruh dari luar.

Orang Melayu telah sedia mempunyai keseniannya yang tersendiri semenjak dari mereka turun dari negeri Yunan lagi. Pada masa sekarang kesenian asli yang masih kekal tiada kena pengaruh dari luar ini masih lagi didapati di antara puak-puak kaum yang terpencil yang mendiami Pulau Nias, Pulau Sulawesi, orang Batak di Sumatera, orang Daik di Borneo dan lain-lain lagi. Rupa bentuk kesenian yang asli ini bolehlah dipastikan daripada ukiran-ukiran dan kumai-kumai rumah-rumah orang Batak yang melengkung bumbungnya seperti tanduk kerbau itu dan pada corak-corak kain batik yang diperbuat di Tanah Jawa yang banyak mempunyai bentuk yang bulat-bulat atau bergelung-gelung atau seperti rupa tulisan “S” dan bentuk-bentuk yang beranyam atau bersusun berbaris-baris. Selain daripada itu bolehlah juga didapati akan dia diukirkan pada seruling bambu orang Minangkabau dan pada ukiran yang ditebuk pada patung-patung wayang kulit orang Jawa.

Oleh sebab bangsa Melayu berketurunan dari Yunan, iaitu sebuah jajahan di sebelah barat daya negeri Cina, maka bolehlah kita agakkan kesenian ini berketurunan dari negeri Cina juga. Bentuk-bentuk rupa kesenian yang serupa itu ada didapati pada bejana-bejana yang diperbuat daipada gangsa yang datang dari negeri Cina pada zaman dahulu. Contoh-contoh rupa itu jika dibandingkan ada didapati daripada bentuk rumah-rumah orang Melayu yang didirikan memakai tiang-tiang dengan rumah-rumah yang di atas pohon kayu dan berhias dengan wajah kepala burung yang didapati tergambar di atas baluh-baluh gendang dari Dong-son di dalam jajahan Tongkin di negeri Annam dan rumah-rumah orang Kachin di Burma, rumah-rumah orang Naga di Assam, rumah-rumah orang Toraja di Sulawesi. Rumah-rumah orang Batak Toba dan rumah-rumah orang Melayu Minangkabau. Kesenian yang disebukan namanya kesenian Dong-son ini didapati juga pada corak-corak kain /ms 9/ orang Lampung di Sumatera dan orang Pulau Sumba. Patut juga disebutkan di sini bahawa kesenian Dong-son di negeri Annam itu telah ternyata apabila dilakukan pengorekan ke atas suatu kawasan kubur tua di tempat itu tiada berapa lama dahulu dan didapati kira-kira dua puluh biji baluh-baluh gendang yang diperbuat daripada gangsa serta juga pisau-pisau yang diperbuat daripada gangsa, cermin-cermin dan wang-wang yang datang dari negeri Cina zaman Wang Mang tiada berapa lama sebelum masihi. Baluh-baluh gendang seperti itu telah dijumpai juga di sungai Tembeling, Pahang iaitu menunjukkan seasal semuanya. Gambar-gambar pada baluh-baluh gendang Dong-son itu adalah menunjukkan orang-orang yang berkepala rusa dan orang-orang yang berkepala burung. Pada corak-corak kain yang diperbuat di Pulau Sumba adalah didapati gambar-gambar rusa seperti itu iaitu sejenis corak atau awan yang terlalu tuanya sehingga ia ada didapati pada barang-barang tekatan atau sulaman yang diperbuat oleh semua bangsa-bangsa dalam Eropah serta juga dalam Siberia dan negeri Cina. Pada suatu contoh kain Sumba ada didapati gambar dua ekor binatang yang besar yang rupanya seperti kuda berdiri berhadapan di kiri kanan suatu ancak. Tetapi menurut bentuk-bentuk yang biasa ialah seekor atau dua ekor kuda berdiri berhadapan di kiri kanan seekor gergasi yang berkepalah bulat dan rambutnya menggerbang, ataupun, seperti yang didapati di Pulau Sumba, menghadap akan suatu pokok yang terkadang-kadang ada pula bersama-sama sebelah atasnya gambar matahari yang memancar cahayanya. Gambar kepala gergasi yang bulat dengan rambutnya yang menggerbang itu telah dipadankan orang sebagai serupa dengan gambar matahari dengan cahayanya yang memancar itu, dan pokok itu jadi sebagai ganti kepada kaki gergasi itu, kedua-dua ekor kuda itu ada pula burung atau ayam bertenggek di atas belakangnya, iaitu burung api yang menyembah matahari dan membunuh ular-ular yang kerap didapati pada kain-kain Sumba. Corak-corak menunjukkan dua ekor binatang menghadap pokok dan matahari ini telah diselidik berasal dari adat manusia menyembah matahari pada zaman purbakala, dan di Malaya kesan-kesannya yang masih tinggal ialah pada awan bentuk roda yang diukirkan pada tangkai-tangkai senduk tempurung oleh orang-orang Kelantan yang kebetulannya serupa dengan bentuk awan matahari memancar yang diukirkan oleh orang-orang Lif di utara negeri Finland dan Sweden, pada senduk-senduk dan sudu-sudu mereka.

Tetapi bagi orang-orang Melayu kesenian asli yang dibuat oleh mereka dari asal keturunan nenek moyang mereka dahulu kala itu tiadalah tetap berkekalan dijalankan mereka dengan keadaan yang bersih hingga sekarang melainkan telah banyak ditambah dan diubah oleh pengaruh-pengaruh dari luar. Pengaruh-pengaruh ini mula-mulanya sekali ialah pengaruh orang-orang Hindu yang datang mengembangkan agamanya ke Alam Melayu semenjak dua ribu tahun yang lalu, dan kemudian pengaruh orang-orang Arab dan Parsi yang membawa agama Islam pula ke Alam Timur ini semenjak dari enam ratus tahun yang lalu.

Bentuk-bentuk senjata Melayu seperti parang, golok, tombak, lembing dan badik /ms 10/ itu masih lagi belum diketahui dengan sah adakah aslinya dari kesenian Melayu asli yang serumpun dengan kesenian Dong-son itu, atau adakah ia dibawa oleh orang-orang Hindu. Dalam pada itu pisau-pisau gangsa yang didapati di tempat yang bernama An-Yang di negeri Cina bertarikh seribu tahun sebelum masihi, pisau-pisau yang didapati di Urdus serta dengan pengadang-pengadang hulu pedang yang berbentuk seperti daun lekuk atau bentuk hati itu samalah dengan bentuk-bentuk tumbuk lada orang Melayu. Hanya bezanya ialah pisau-pisau An-Yang dan Urdus itu mata dan hulunya dibentuk daripada sebatang gangsa jua, tetapi tumbuk lada orang Melayu, hulunya didatangkan kemudian diperbuat daripada kayu, tanduk, gading atau lainnya.

Sebagai contoh tentang perubahan keadaan hulu tumbuk lada daripada melekat kepada tanggal itu bolehlah didapati bayangannya daripada sejarah keris Melayu. Keris telah sedia tersebut menjadi senjata orang-orang Melayu semenjak dari kurun masihi yang kesembilan iaitu lebih seribu tahun yang lalu. Menurut suatu cerita Jawa yang disebutkan oleh Tuan Raffles, keris telah sampai ke Tanah Jawa dari Tanah Melayu pada kurun yang keempatbelas waktu Majapahit menakluki beberapa negeri di Tanah Melayu ini. Asal keris adalah diselidik terbit dari kebudayaan Dong-son juga. Senjata yang bermata dua ini bukannyalah asalnya terbit dari Alam Melayu sendiri. Ia tiada digambarkan pada awan-awan timbul dan patung-patung Candi Borobudur di Jawa. Oleh itu tiadalah boleh dikatakan ia datang dari India. Dan juga tiada didapati pada awan-awan tebuk patung-patung wayang kulit Kelantan peringkat yang tua yang meriwayatkan cerita Sri Rama. Gambar keris yang mula-mula dijumpai ialah pada Candi Panataran yang dibina pada kurun yang keempatbelas yang rupanya lebih hampir kepada rupa bentuk sundang Bugis.

Bentuk keris yang betul menurut bentuk sekarang ialah keris Majapahit yang termasyhur namanya itu. Dalam pada itu hulu keris itu ialah ditempa melekat dengan matanya sekali, iaitu sebagaimana keadaan pisau Dong-Son itu. Mata keris-keris itu ialah berlok sedikit sahaja dan kasar perbuatannya, iaitu kononnya dibentuk atau dipicit dengan jari oleh tukang-tukang yang membuatnya. Hulu-hulu keris adalah dua jenisnya. Jenis yang pertama seperti pisau-pisau Dong-Son itu ialah berupa gambar orang yang berdiri dengan tangannya diletakkannya dipehanya seakan-akan serupa keadaannya dengan gambar-gambar keturunan cara tua yang didapati di Pulau Nias dan di Pulau Luzon. Oleh itu bolehlah kita katakan percampuran di antara dua seni Indonesia dengan seni Dong-Son. Jenis yang kedua daripada hulu keris Majapahit itu masih lagi ditempa melekat bersama-sama dengan matanya tetapi ia menggambarkan wajah orang duduk dengan sikunya ke bawah dan tangannya memeluk lututnya, iaitu rupa gambar yang masih lagi menunjukkan pengaruh Dong-son tetapi menurut bentuk Indonesia dan dipinjam benda-benda yang digambarkan itu dari cerita-cerita Hindu.

Bagi perkaitan antara gambar orang duduk itu dengan pinjaman daripada cerita-cerita Hindu maka seorang pakar tentang perkara kebudayaan Timur adalah menunjukkan perihal gambar seekor raksaksa yang keadaanya separuh duduk dan separuh berlutut didapati di Candi Singosari dan gambar garuda yang diperbuat daripada tanah liat di candi malahan berlutut menjulang akan ratu Jawa yang bernama Arlingga sebagai penjelmaan Betara Guru. Pertukaran daripada hulu keris yang melekat dengan matanya dan hulu keris yang berasingan itu ialah berlaku pada akhir kurun yang ketigabelas ataupun boleh jadi lebih awal lagi. Dan lagi mata keris itupun menjadi berlok-lok, iaitu menggambarkan rupa naga yang menurut cerita-cerita Hindu ialah dibunuh oleh garuda.

Bagi hulu-hulu keris yang biasanya menggambarkan garuda kenaikan Betara Guru itu yang diperbuat akan dia dengan tiada bersayap tetapi terkadang-kadang diberi berparuh, ataupun seekor raksaksa atau wajah Sang Hanuman. Seorang pakar adalah menaruh tilikan bahawa hulu keris gambar raksaksa itu ialah menggambarkan rupa seorang buta atau raksaksa bernama Kalamasapada. Raksaksa itu ialah makan manusia sebagaimana juga burung garuda, dan Sang Hanuman sungguhpun ia tiada makan manusia tetapi seperti raksaksa Kalamasapada itu di dalam penjelmaannya sebagai rahu, telah mencuba hendak menelan matahari. Ketiga-tiga raksaksa, garuda dan Sang Hanuman itu adalah mempunyai kegagahan yang luar biasa serta penuh dengan /ms 11/ kesaktian boleh melayang dan menggelapkan bumi dengan lindungan bayangnya tatkala melayang itu. Burung garuda dan Sang Hanuman ialah terlalu besar tubuhnya serta boleh pula menjelmakan dirinya jadi berbagai-bagai rupa ataupun menghilangkan dirinya daripada pemandangan. Sebagaimana Sang Hanuman, maka raksaksa Kalamasapada itu terlalu kuat melompat. Pendek kata ketiga-tiganya itu digambarkan jadi perhiasan hulu keris adalah mempunyai hikmat dan mendatangkan tuah kepada sesiapa yang memakai keris itu.

Gambar burung garuda pada hulu keris Jawa jenis yang tua sekali ialah berupa seorang kenit dengan matanya terbeliak dan hidungnya bengkok seperti paruh. Keris jenis ini tiada didapati di Malaya. Suatu jenis hulu keris lagi ialah yang mempunyai rupa yang berlainan sekali dan didapati akan dia di Jawa, di Madura, di Sulawesi dan di selatan Sumatera. Rupanya ialah sebagai badan manusia dan mukanya seperti muka burung. Contoh-contoh hulu keris daripada jenis yang kedua ini yang didapati akan dia di Lampung, Patani dan Kelantan ialah ada berparuh penjang dan dinamai akan dia Pekaka. Hulu keris yang ketiga iaitu jenis yang banyak sekali didapati di Malaya ialah berasal dari pertukangan Bugis. Hulu keris itu mempunyai gambar kepala orang yang tunduk dan tangannya berpeluk tubuh. Ia digelarkan Jawa Demam meskipun gambar kepalanya masih lagi berupa burung. Sesungguhnya bolehlah dikatakan semua bentuk-bentuk hulu keris orang Melayu ialah berasal dari rupa raksaksa ataupun garuda.

Selain daripada di dalam kalangan mengukir batu dan menukangi emas dan perak serta tembaga maka pengaruh orang-orang Hindu tiadalah banyak dalam hal kesenian dan pertukangan orang-orang Melayu dibandingkan dengan pengaruh yang lebih tua yang datang dari negeri Cina dan Indocina. Pengaruh Hindu itu telah tiada berapa luas merubaknya di Alam Melayu ini. Ia tiada dapat menukarkan bentuk-bentuk perahu orang Melayu jenis yang besar-besar dan ia tiada juga dapat mengubahkan corak-corak dan awan-awan cara tua pada kain-kain orang Daik, Batak dan Lampung, serta juga corak-corak kain batik dari Jawa dan Bali.

Sungguhpun sebagaimana yang dikatakan pengaruh Hindu kepada kain-kain tenunan Alam Melayu tiada berapa luas tetapi oleh sebab Malaya dan India tiada berapa jauh letaknya serta pula di dalam perhubungan perniagaan maka jadilah kain-kain buatan India serta corak-coraknya pakaian yang digunakan di balai-balai raja dan membunuh mana-mana corak yang telah sedia ada. Sutera ialah dibawa dari India dan perkataan sutera itupun dipinjam oleh /ms 12/ orang Melayu dari bahasa Sanskrit. Pada mula-mulanya kain sutera hanyalah bagi pakaian raja-raja saja meskipun pada masa sekarang boleh dipakai oleh sesiapa yang upaya membelinya. Pada masa sekarang kain sutera adalah ditenun di beberapa buah negeri dan tempat. Batik sutera ada dibuat di Jawa dan di Bali, dan pakaian-pakaian sutera yang lain-lain ada ditenun di Sulawesi, di Borneo dan di Sumatera. Dalam Tanah Melayu, negeri-negeri yang bertenun kain sutera ialah Patani, Kelantan dan Terengganu. Kain-kain yang ditenun di dalam negeri itu termasyhur dan disukai oleh orang-orang Melayu. Kain limau iaitu kain sutera tenunan Terengganu , Pahang dan Kelantan yang mempunyai corak kepala ular yang berbelang-belang merah dan hijau adalah mengingatkan kita kepada corak-corak kain India meskipun cara mencelupnya itu berlainan dari yang dijalankan oleh orang-orang India. Cara celupan orang-orang Melayu itu barangkali berasal dari Dong-Son, iaitu diperbuat mereka dengan mengikat benang sutera yang akan ditenun itu sebelum dicelup akan dia. Padahal menurut cara India ialah kain yang telah bertenun itu diikat dan kemudian baru dicelup.

Terengganu juga ada mengeluarkan kain-kain yang menurut seperti kain India, iaitu menyongket akan dia dengan benang emas, terkadang-kadang dengan benang sutera yang berbelak-belak dengan garisan putih dan biru, dan terkadang-kadang pula dengan corak limau dan digelar akan dia kain tenggarun. Kain-kain benang emas ini ada juga ditenun ditempat-tempat lain dalam Tanah Melayu, tetapi tiadalah boleh melawan kain tenunan Batu Bara dan Palembang di Sumatera. Sejenis kain lagi bergelar kain telepuk ada pula diperbuat di Patani, Pahang dan Selangor, iaitu menurut cara perbuatan yang dijalankan di Punjab, India. Kain itu yang tapaknya mempunyai corak hijau tua atau biru tua yang halus, mula-mula disapu gerus (dengan menggunakan isi sejenis siput) dan kemudian dicop dengan block-block kayu yang telah disapu perekat lebih dahulu, setelah itu disapu dengan tepung perada ataupun ditampalkan kertas peradanya sekali.

Tawarikh China yang tertulis pada kurun yang kesepuluh ada menyebutkan bagaimana raja-raja Srivijaya (Palembang) yangmemakai nama-nama Sanskrit ada memakai “pakaian sutera yang berbunga-bunga dan bertatah dengan mutiara” dan menggunakan tirai dewangga yang bertekat. Dan juga tersebut bagaimana Sri Maharaja China pada awal kurun yang kelimabelas telah mengirimkan kepada raja Melaka “kain-kain baldu, sutera dan kasa yang ditekat dengan emas” dan beberapa persalinan pakaian yang diekat dengan gambar naga. Bengkung-bengkung daripada kain kesumba, seluar-seluar sutera yang dihiasi dengan manik-manik, dan bulatan-bulatan daripada kepingan-kepingan timah sari. Kebetulannya kain-kain Lampung dan Daik ada lagi menggunakan bulatan-bulatan daripada kepingan-kepingan timah sari seperti itu. Sesungguhnya banyak pengaruh-pengaruh telah membawa kepada tumbuhnya cara-cara tekatan yang baru sekarang ini. Di negeri Perak banyak didapati, terutama di istana raja-raja, akan tikar-tikar dan bantal-bantal yang bertekat. Tekatan-tekatan ini ada dua jenis yang disukai orang, iaitu tekat rata dan tekat timbul. Bunga-bunganya biasanya ialah awan-awan larat.

Tentang pertukangan emas dan perak pula, orang Melayu telah sedia menukanginya dari zaman purbakala. Sepasang gelang emas yang ada berkepala singa telah dijumpai di dalam suatu galian yang telah dilakukan di Bukit Larangan (Fort Canning), Singapura, dan suatu pending yang bergambar kepala singa serta bengkung yang dianyam daripada dawai emas telah dijumpai di dalam sungai Batu Lintang di Kedah. Bengkung-bengkung emas seperti itu ada didapati digambarkan pada ukiran-ukiran batu di India dari kurung yang kesembilan masihi. Sebentuk cincin yang berukir dan sebentuk yang berpermata telah dijumpai bersama-sama dengan gelang yang di Singapura itu. Barang-barang emas yang bertatah dengan permata, sebagai misalnya, ada didapati pada gelang lengan alat kerajaan Perak. Pekerjaan menukangi emas dan menatahnya dengan permata atau cotam telah biasa dijalankan di dalam negeri Monggolia semenjak dari zaman dahulu. Tetapi harus kepandaian itu telah dibawa oleh tukang-tukang Hindu ke Alam Melayu ini dan diajarkannya kepada orang-orang Jawa dan Melayu.

Pekerjaan menukangi barang-barang perak ada dua caranya dijalankan di Malaya, iaitu di sebelah utara dan selatan. Kedua-duanya itu berasal dari India pada waktu orang Melayu masih beragama Hindu lagi. Kita boleh dapati banyak sekarang ini ikat-ikat pinggang perak, emas dan cotam dengan berperhiasan kuntum bunga teratai yang besar. Setengah-setengah puan ada mempunyai bentuk bunga teratai /ms 13/ seperti pada kaki berhala-berhala Buddha. Di negeri Perak, kuntum-kuntum bunga teratai yang kembang seperti kuntum-kuntum mawar yang kecil banyak ada dijadikan perhiasan pada cembul-cembul yang bulat seperti keadaan harloji, dan juga ada dijadikan awan pada mangkuk-mangkuk besar yang bertutup. Sejenis rupa yang disukai bagi menggambarkan bunga teratai itu ialah diiringkan seperti menggambarkan buah nenas, dan bunga-bunga teratai yang sedemikian itu ada digambarkan pada candi Borobudur di Jawa dan telah didapati sehingga ke negeri Samarkand di Asia Tengah. Pada barang-barang perak, tertutamanya pada bekas-bekas air yang dipertukangkan di Riau dan di Johor, bentuk-bentuk bunga dan awan-awan larat, gelang-gelang dan aguk-aguk adalah biasa didapati sebagaimana yang boleh dilihat pada ukiran-ukiran batu orang-orang Hindu. Semakin pandai tukangtukang Melayu yang memperbuat barang-barang perak itu, maka semakinlah cantik dan hidup rupa bunga-bunga dan awan-awan larat yang digambarkan oleh mereka itu sebagaimana yang boleh dipastikan pada puan alat kerajaan Perak serta juga pada puan kepunyaan Tengku Qamariah yang diperbuat pada kurun yang kelapanbelas dan ada tersimpan di Johor sekarang ini. Sejenis awan lagi yang dinamakan kaluk paku ada didapati pada perhiasan-perhiasan Daik Borneo. Brang-barang perak yang didapati di negeri Perak dengan yang di Riau dan Johor itu adalah berlainan rupanya, kedua-duanya pada bunga-bunga awan laratnya dan pada bentuk badannya. Di negeri Perak, bekas-bekas air yang besar itu diberi bertudung yang bentuknya bulat dan ada pula tangkai yang kecil seperti kelopak biji buah teratai, serta ada pula aguk-aguk kecil yang bergoncang. Akan bekas-bekas air yang besar perbuatan Riau dan Johor itu tiadalah mempunyai tudung dan keadaannya layah dengan lehernya pendek saja serta tepi mulutnya terjuih keluar. Tetapi dalam pada itu barang-barang yang lebih kecil jenis yang lain-lain tiadalah mempunyai bentuk yang khas berasingan melainkan bercampur saja di antara kedua-dua tempat itu. Orang Melayu telah juga meminjam akan bentuk-bentuk harloji orang Eropah pada zaman dahulu bagi dijadikan bekas tembakau.

Barang-barang emas daripada aguk, dokoh, subang, sarung keris dan tampang-tampang emas pada tempat-tempat sirih dan puan-puan perak yang besar dan bulat adalah semuanya menunjukkan pengaruh Hindu dan harus telah dibawa oleh orang-orang Hindu ke Palembang. Orang-orang Jawa tiada membuat barang-barang emas seperti itu. Suatu bentuk awan timbul ada diperbuat dengan dawai-dawai emas (atau perak) dan dilekatkan dengan biji-biji emas yang digelarkan telur ikan. Terkadang-kadang telur ikan itu dibuat besar-besar sedikit dan dijadikan rupanya seperti bunga-bunga yang halus. Barang-barang emas jenis ini kadang-kadang ada diberi berpermata, dan tiada berapa lama dahulu ada ditukangi orang di Kuala Pilah.

Di Negeri Sembilan, cembul-cembul bekas tembakau dan kapur, dan yang biasanya sekali pending-pending, ada dihiasi dengan jadam. Iaitu awan-awan timbul daripada ukiran barang-barang perak itu dibiarkan tinggal putih, dan tapaknya di antara celah-celah ukiran itu diisi dengan jadam atau cat. Awan daripada gambar bunga-bunga teratai adalah biasa didapati pada pending-pending dan puan-puan yang berjadam.

Lagi satu pertukangan barang-barang perak ialah dinamakan cotam, iaitu berasal dari Ligor dan banyak didapati di Perak dan di Kedah. Adalah dikatakan tukang-tukangnya di Ligor itu asalnya ialah keturunan orang-orang Melayu yang telah ditawan oleh Siam di dalam peperangannya dengan Kedah. Suatu berita lagi mengatakan pertukangan itu telah berkembang semenjak dari kurun yang keduabelas dan ketigabelas hingga ke kurun yang kelapanbelas. Bentuk mangkuk-mangkuk yang dipertukangi mereka itu ialah berlainan dari bentuk mangkuk perak tempurung sebelah yang biasa dipertukangi orang-orang Melayu.

Pertukangan tembaga pada zaman dahulu maju di Alam Melayu tetapi sekarang telah hampir-hampir mati dibunuh oleh barang-barang tembaga yang datang dari negeri-negeri asing. Pada masa dahulu orang-orang Melayu telah menukangi bukannya saja dulang, bekas bara dan mangkuk dari tembaga atau gangsa, melainkan hingga pandai menempa meriam daripada logam itu. Dalam pada itu, sekarang ini ada juga didapati orang-orang Melayu yang bertukang tembaga dengan membuat perkakas dapur dan lain-lainnya dan yang maju ialah pertukangan tembaga putih atau kuning di Kuala Terengganu bagi memperbuat tempat-tempat sirih, kacip dan lain-lain lagi.

 

image_pdfimage_print

Comments are closed.